Tuesday 28 April 2009

Jawapan terpuji seorang murid.



Pada suatu hari Syafiq al-Balkhi bertanya kepada muridnya Hatim al-Asham: "Apakah pelajaran yang dapat engkau petik sejak engkau menemaniku?"

Hatim menjawab: "Ada enam perkara:

Pertama: Ketika aku melihat manusia selalu mencemaskan masalah rezeki
sedangkan mereka bakhil dengan apa yang sudah mereka dapat dan tamak dengannya. Aku bertawakkal kepada Allah, kerana dia telah berfirman: 'Dan tidak ada suatu makhluk yang menjalar di muka bumi melainkan Allahlah yang memberinya rezeki' (Hud:6)

Kerana aku termasuk makhluk yang menjalar di muka bumi, maka aku tidak mahu meresahkan hatiku dengan apa yang telah dijamin oleh Yang Maha Kuat lagi Maha Kukuh"

Syafiq berkata kepadanya: "Bagus"

Kedua: Kerana aku melihat semua orang mempunyai teman yang menjadi tempat pengaduannya untuk mengatakan semua permasalahan dan rahsianya sedangkan mereka tidak mahu membelanya pada waktu susah. Aku menjadikan amal soleh sebagai temanku agar ia dapat membantuku pada waktu hisab dan membuatku selamat ketika dihadapkan kepada Allah.. Ia juga akan menemaniku ketika melalui titian Shiratul Mustaqim"

Syafiq berkata: "Bagus"

Ketiga: Aku melihat setiap orang mempunyai musuh. Aku melihat setiap orang yang mengumpatku bukanlah musuhku, bukan orang yang menzalimiku dan bukan pula orang yang berbuat jahat kepadaku kerana orang-orang tersebut akan memberiku keuntungan dari kebaikan mereka dan akan menanggung dosa-dosaku.

Musuhku adalah orang-orang yang apabila aku mentaati Allah, dia akan menggodaku untuk melakukan kederhakaan. Aku menganggap bahawa mereka itu adalah Iblis, nafsu, dunia dan hawa. Oleh kerana itu, aku menjadikan mereka sebagai musuhku. Aku akan berhati-hati dengan mereka dan mempersiapkan segala sesuatu untuk memerangi mereka. Aku tidak akan membiarkan mereka mendekatiku"

Syafiq berkata: "Bagus"

Keempat: Aku melihat setiap makhluk hidup dalam keadaan diburu dan pemburu tersebur adalah malaikat maut. Maka, aku akan mempersiapkan diri untuk menemuinya sehingga apabila ia telah bertemu denganku, aku akan segera menyambutnya tanpa penghalang"

Syafiq berkata: "Bagus"

Kelima: Aku melihat semua manusia selalu dalam keadaan saling menyayangi atau saling membenci. Lalu, aku mempelajari sebab dari sayang dan benci tersebut. Maka, aku mengetahui bahawa sebab dari semua itu adalah sifat dengki. Oleh kerana itu, aku membuang jauh-jauh dari diriku sifat hasad tersebut dengan cara membuang sesuatu yang melekatkan antara aku dengannya, iaitu hawa nafsu. Kemudian aku mencintai semua manusia sebagaimana aku mencintai diriku sendiri.

Syafiq berkata: "Bagus"

Keenam: Aku melihat setiap orang yang bertempat tidak dapat pasti akan berpisah dengan tempatnya. Maka, aku melihat bahawa tempat kembali semua orang yang menetap tersebut adalah kubur. Oleh kerana itu, aku mempersiapkan untuknya segala persiapan berupa amal-amal soleh untuk menetap di tempatku yang baru tersebut sedangkan tidak ada tempat di belakangnya kecuali Syurga atau Neraka"

Syafiq berkata: "Bagus"

0 comments: